Lokasi Bukan Penghalang Pelajar Luar Bandar Raih Kecemerlangan
LUNDU: Lokasi dan latar belakang bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan akademik, terbukti apabila 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu berjaya mencatat pencapaian membanggakan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, kejayaan 33 pelajar cemerlang SPM dan 17 pelajar cemerlang STPM itu membuktikan bahawa kesungguhan, disiplin dan ketekunan mampu membawa pelajar dari kawasan luar bandar mencapai kejayaan setanding pelajar di kawasan lain.
“Setiap cabaran perlu dijadikan sumber kekuatan dan motivasi kerana anak-anak dari kawasan luar bandar juga mempunyai keupayaan untuk berdiri sama tinggi dan mencapai kejayaan besar sekiranya terus berusaha,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Insentif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kepada Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2025 di SMK Lundu, di sini pada Rabu.
Menurut Billy, pencapaian tersebut merupakan hasil usaha, disiplin, ketekunan dan pengorbanan para pelajar, selain sokongan berterusan guru, ibu bapa dan keluarga.
Beliau berkata, kejayaan akademik yang dicapai bukanlah titik akhir, sebaliknya menjadi permulaan kepada perjalanan lebih mencabar apabila pelajar melangkah ke kolej, universiti, institusi kemahiran atau bidang kerjaya pilihan masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menyeru pelajar supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, malah memperkukuh kemahiran komunikasi, teknikal, kepimpinan dan kreativiti bagi meningkatkan daya saing dalam menghadapi dunia pekerjaan.
Dalam pada itu, Billy mengingatkan golongan muda supaya berani menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), dengan memanfaatkannya secara bijak sebagai alat untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.
Beliau turut berkongsi pengalaman perjalanan hidupnya yang penuh cabaran sebagai dorongan kepada pelajar agar tidak menjadikan kekurangan atau kesusahan sebagai alasan untuk berhenti mengejar cita-cita.
Katanya, generasi muda perlu melihat setiap cabaran sebagai peluang untuk membina kekuatan diri dan terus bergerak ke hadapan dalam mencapai impian masing-masing.
Pada majlis tersebut, seramai 50 pelajar cemerlang SMK Lundu menerima insentif PIBG sebagai penghargaan terhadap pencapaian akademik mereka dalam SPM dan STPM 2025.-EDISI UKAS