LUNDU: Hampir RM820,000 diperuntukkan bagi menaik taraf dan membaik pulih kemudahan di dua sekolah di kawasan Opar, sekali gus memastikan warga pendidik dan pelajar menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
Dua projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) itu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sematan dan SMK Lundu, dengan penyerahan tapak kepada kontraktor masing-masing disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang pada Rabu.
Billy berkata, kedua-dua projek berkenaan perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, mengikut skop dan spesifikasi ditetapkan serta disiapkan dalam tempoh kontrak bagi memastikan kemudahan yang diperlukan dapat dimanfaatkan segera oleh warga sekolah.
Beliau turut memberi penekanan supaya kontraktor tidak mengambil mudah aspek tempoh pelaksanaan sehingga menyebabkan projek mengalami kelewatan atau menjadi projek sakit.
Katanya, keadaan sedemikian bukan sahaja merugikan kerajaan dari segi peruntukan dan pelaksanaan, malah menjejaskan pihak sekolah, guru serta pelajar yang sepatutnya menerima manfaat daripada projek tersebut.
“Penyediaan kemudahan pendidikan yang lebih baik merupakan satu pelaburan penting dalam meningkatkan keselesaan, keselamatan dan keberkesanan proses pembelajaran,” katanya.
Projek pertama melibatkan Naik Taraf Dewan Serbaguna SMK Sematan bernilai RM399,998.03 yang dilaksanakan Tarigas Construction.
Skop kerja merangkumi pemasangan siling PVC dan awning di sekeliling dewan, menaik taraf pentas serta stor, kerja mengecat dan penggantian kipas.
Projek berkenaan dilaksanakan selama enam bulan bermula 10 Ogos 2026 hingga 25 Januari 2027.
Sementara itu, Membaik Pulih Kelas Tingkatan Enam SMK Lundu pula bernilai RM420,000 dan dilaksanakan Asim Enterprise.
Kerja-kerja melibatkan penggantian bumbung, pemasangan awning, kerja elektrik, penggantian tingkap dan pintu kelas, pemasangan jeriji keselamatan serta kerja mengecat bangunan.
Projek tersebut bermula pada 18 Ogos 2026 dan dijangka siap pada 8 Disember 2026.
Dalam pada itu, pihak sekolah turut meminta kontraktor memastikan setiap kerja yang dirancang dibincangkan dan dimaklumkan terlebih dahulu kepada pentadbiran sekolah bagi mengelakkan gangguan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.-EDISI UKAS