48 Kontinjen Semarak Sambutan Maulidur Rasul Di Sri Aman
SRI AMAN: Sebanyak 48 kontinjen daripada pelbagai agensi dan komuniti menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sri Aman 1448H/2026M menerusi Pertandingan Sepanduk yang berlangsung pada malam Rabu.
Penglibatan jabatan kerajaan, badan berkanun, sektor swasta, pertubuhan, kelab, institusi pendidikan serta masjid dan surau itu mencerminkan komitmen bersama dalam menghidupkan sambutan Maulidur Rasul, selain memperkukuh kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor serta Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Sri Aman.
Majlis turut diserikan dengan Ceramah Khas Maulidur Rasul yang mengajak para hadirin menghayati perjuangan, keperibadian dan akhlak mulia Rasulullah SAW untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.
Selain itu, program turut menyaksikan penyampaian hadiah Pertandingan Sepanduk serta Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Masjid dan Surau Awam sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sri Aman.
Bagi Kategori A melibatkan Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun, Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman muncul juara dengan 78 markah, diikuti Penjara Pusat Sri Aman di tempat kedua dengan 75 markah dan Hospital Sri Aman di tempat ketiga dengan 69.5 markah.
Kategori B bagi sektor swasta, pertubuhan dan kelab pula menyaksikan Sarawak Skills menduduki tempat pertama dengan 66.5 markah, diikuti GiatMARA Sri Aman dengan 63 markah dan PERKIM Sri Aman dengan 59 markah.
Bagi Kategori C melibatkan sekolah rendah dan menengah, SK Sri Aman muncul juara dengan 76 markah, diikuti SMK Lingga dengan 70 markah dan SK Agama Sri Aman dengan 68.5 markah.
Sementara itu, Kategori D yang melibatkan JKKK, masjid dan surau menyaksikan JKKK Kampung Baur menduduki tempat pertama dengan 65.5 markah, diikuti JKKK Lemanak/Surau Hayatul Islam Kampung Lemanak dengan 65 markah dan JKKK Kampung Melayu Tanjung Buat, Lingga dengan 64.5 markah.
Pemenang tempat pertama menerima wang tunai RM1,000 berserta sijil, tempat kedua RM700 berserta sijil, manakala tempat ketiga menerima RM500 berserta sijil.-EDISI UKAS