Pendidikan Tanggungjawab Bersama, Komuniti Perlu Terlibat Aktif
SARIKEI: Pendidikan perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama seluruh masyarakat dan tidak lagi bergantung kepada sekolah semata-mata.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, penglibatan komuniti penting bagi mewujudkan ekosistem pendidikan yang lebih terbuka, inklusif dan mampu memberi pendedahan kepada murid terhadap perkembangan dunia di luar bilik darjah.
“Pendidikan bukan lagi tanggungjawab sekolah semata-mata, sebaliknya merupakan amanah dan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Pendidikan MADANI Daerah Sarikei Tahun 2026, di sini pada Sabtu.
Menyentuh mengenai program, Dato Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok memberitahu, pelbagai pengisian sepanjang karnival termasuk bengkel akademik, pameran pendidikan dan pameran agensi memberi peluang kepada murid memperoleh pengalaman baharu serta memahami keperluan dunia pekerjaan yang semakin dinamik.
Beliau turut menyifatkan penganjuran karnival tersebut sebagai cerminan kesungguhan warga pendidikan Sarikei menyediakan ruang pembelajaran yang lebih luas dan bermakna kepada murid.
“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh jawatankuasa pelaksana, para pegawai, guru, rakan strategik serta semua pihak yang menjayakan karnival ini,” katanya.
Pada majlis sama, Dato Sri Huang menyumbangkan RM10,000 kepada Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei bagi menyokong usaha pembangunan pendidikan di daerah berkenaan.
Hadir sama, Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong, Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Lau Ngie Tung, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan) yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Affendi Mohamad Amin dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei, DSP Ronney Michael Jalak.-EDISI UKAS