Pegawai PR Perlu Proaktif, Tangkas Urus Krisis Komunikasi
KUCHING: Pegawai perhubungan awam (PR) kerajaan perlu lebih proaktif dan tangkas dalam mengurus isu serta krisis komunikasi, termasuk memberikan pandangan dan cadangan strategik kepada pemimpin serta agensi masing-masing.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, peranan pegawai PR amat penting kerana mereka bukan sahaja perlu mengurus hubungan dengan media dan masyarakat, malah perlu mampu memberikan pandangan serta cadangan kepada pemimpin apabila berdepan sesuatu krisis.
“Anda perlu proaktif. Kadangkala apabila bos anda tidak meminta, kemukakan dan cadangkan cara mengurus serta pastikan bahawa kenyataan media dan semuanya dibaca semula,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap semasa majlis penutupan UKAS Making Connections 2026: Bengkel ‘Strategic Crisis Communication & Media Management Advisory For Government Leaders’ di sini, pada Jumaat.
Datuk Abdullah menambah, keperluan tersebut semakin penting dalam menghadapi cabaran media sosial yang memerlukan pegawai PR bertindak pantas, menjangka perkembangan sesuatu isu serta sentiasa berwaspada.
Sementara itu katanya, dalam mengurus sesuatu krisis, pegawai PR juga perlu bijak mengimbangi penyampaian fakta dengan aspek kemanusiaan dan sensitiviti masyarakat bagi memastikan maklumat yang disampaikan tidak menimbulkan keresahan atau salah faham.
Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta Timbalan-Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali dan Joachim Paggang Jabong.-EDISI UKAS