SUITEX26 Tingkat Kesedaran, Perlindungan Pengguna Industri Umrah
MIRI: Festival Ekspo Umrah dan Pelancongan Islam Sarawak 2026 (SUITEX26) menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran dan perlindungan pengguna dalam industri umrah dan haji, selain memperkasa sektor pelancongan Islam di Sarawak.
Pengerusi Persatuan Umrah dan Haji Sarawak (SUHA) merangkap Pengerusi SUITEX26, Ruzaiman Ghazalee berkata, festival berkenaan juga menjadi ruang kepada masyarakat untuk mengenali agensi pelancongan tempatan yang berlesen serta mendapatkan maklumat tepat mengenai industri umrah dan haji sebelum membuat pilihan.
“Kita sering mendengar pelbagai isu mengenai industri ini. Di SUITEX, masyarakat boleh datang sendiri, bertanya dan mengetahui keadaan sebenar, selain mengenali agensi berlesen dari Sarawak dan memahami pakej sebelum membuat pilihan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, walaupun umrah dan haji kekal sebagai teras SUHA, sebahagian agensi tempatan turut menawarkan pakej perjalanan mesra Muslim ke pelbagai destinasi di Eropah, negara Balkan, Asia Barat, Asia Timur dan ASEAN.
Katanya, pilihan perjalanan kini semakin luas dan masyarakat perlu mengetahui bahawa agensi tempatan bukan sahaja menawarkan pakej umrah serta haji, malah pelancongan mesra Muslim ke pelbagai destinasi dunia.
SUITEX26 dianjurkan SUHA dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan berlangsung hingga 30 Ogos di Boulevard Mall, Miri.
Festival itu menyasarkan lebih 50,000 pengunjung dari Sarawak, Sabah dan Brunei, dengan hampir 40 gerai pameran membabitkan agensi pelancongan, badan kerajaan, usahawan dan penyedia perkhidmatan berkaitan.
Pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai tawaran sepanjang festival, termasuk pakej umrah dan percutian luar negara percuma, rebat pakej haji sehingga RM20,000 serta baucar diskaun umrah sehingga 50 peratus.
Selain itu, cabutan bertuah dengan hadiah dan tajaan bernilai hampir RM100,000 turut ditawarkan tanpa memerlukan sebarang pembelian.
Pengunjung hanya perlu mengunjungi empat gerai pameran yang ditetapkan untuk menyertainya.
Sepanjang tiga hari, SUITEX26 turut menampilkan forum, ceramah, pemeriksaan kesihatan serta aktiviti keluarga, manakala majlis perasmian dijadual berlangsung pada malam penutup, 30 Ogos yang akan dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, mewakili Premier Sarawak.
Festival itu turut menyaksikan pelancaran buku Pelaksanaan Solat Fardu dan Solat Sunat Harian yang disusun oleh ahli agama dalam kalangan anggota SUHA. -EDISI UKAS