300 Penduduk Samalaju Mendapat Akses Pelbagai Agensi Kerajaan Di Satu Lokasi
SUAI: Kira-kira 300 penduduk di Rumah Baranyai, Tinting Mawang, Sungai Sebatuk, Suai mendapat peluang berurusan secara terus dengan pelbagai agensi kerajaan menerusi Program Advokasi dan Komuniti Bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Samalaju, pada Rabu.
Program itu menghimpunkan kaunter perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pertanian, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.
Menerusi pendekatan tersebut, penduduk boleh mendapatkan khidmat nasihat, membuat pertanyaan serta menjalankan semakan berkaitan perkhidmatan agensi terlibat tanpa perlu ke pejabat kerajaan masing-masing.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi hadir merasmikan program berkenaan.
Selain perkhidmatan kaunter, program turut menyediakan sesi taklimat dan advokasi bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai peranan agensi kerajaan serta isu berkaitan kesejahteraan komuniti.
Program berkenaan turut diserikan dengan persembahan Ngajat oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Baranyai serta penyampaian sijil penghargaan kepada agensi, penceramah dan JKKK Rumah Baranyai. -EDISI UKAS