KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menerima kunjungan hormat delegasi daripada Persatuan Sukan Solidariti Islam (ISSA) sebagai usaha mengukuhkan hubungan antara kedua pihak dalam bidang sukan serantau.
Delegasi ISSA diketuai Setiausaha Agungnya, Nasser Majali disambut oleh Dato Sri Abdul Karim bersama tetamu lain di pejabat kementerian itu di Petra Jaya pada Khamis.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (OCM) Datuk Mohd Nasir Ali, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dzulkornain Masron serta tetamu lain.
Pertemuan kira-kira sejam itu berlangsung dalam suasana muhibbah, mencerminkan hubungan erat antara Sarawak dan ISSA khususnya dalam pembangunan sukan.
Nasser dalam taklimat ringkasnya memberitahu, ISSA merupakan badan induk yang mengelola penganjuran temasya Sukan Solidariti Islam (ISG) yang diadakan setiap empat tahun.
Katanya, ISG melibatkan penglibatan 57 negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di mana kali terakhir ia diadakan di Riyadh, Arab Saudi pada tahun 2025.
Menurut beliau, kunjungan itu juga bagi memaklumkan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah ISG seterusnya yang akan diadakan pada 2029.
Jelasnya, ruang itu juga digunakan oleh ISSA untuk berkongsi pengalaman penganjuran ISG sebelumnya bagi membantu Malaysia dalam penganjuran akan datang.
Sementara itu, Dato Sri Abdul Karim menyambut baik kunjungan delegasi ISSA sambil menyifatkannya sebagai ruang perbincangan yang boleh membawa manfaat terhadap perkembangan sukan di negara-negara Islam serantau.
Katanya, ISSA telah memainkan peranan penting dalam mengangkat martabat sukan negara-negara Islam menerusi penganjuran ISG sejak 2005.
Beliau turut berkongsi kejayaan Sarawak dalam menganjurkan pelbagai kejohanan kebangsaan mahupun antarabangsa termasuk persiapan untuk menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027. - EDISI UKAS