Bintulu Bakal Laksana Kajian Menyeluruh Mitigasi Banjir
BINTULU: Kerajaan Sarawak merancang untuk melaksanakan kajian menyeluruh terhadap sistem mitigasi banjir di Bintulu sebagai langkah jangka panjang bagi menangani isu banjir di bandar itu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, kajian tersebut dicadang melibatkan firma perunding antarabangsa bersama kepakaran tempatan bagi memastikan perancangan mitigasi banjir Bintulu dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan keseluruhan sistem mitigasi banjir di Bintulu dinilai dari aspek perancangan, keupayaan sistem sedia ada serta keperluan penambahbaikan.
“Rainbow merupakan firma perunding antarabangsa yang besar dan membawa bersama kepakaran tempatan serta memenuhi piawaian antarabangsa.
“Projek pembaharuan bandar Bukit Assek di Sibu dilaksanakan oleh Rainbow. Premier Sarawak telah melihat pelan tersebut dan berpuas hati dengannya.
“Oleh itu, beliau mahu Bintulu turut mendapatkan khidmat firma perunding antarabangsa yang sama bagi melaksanakan kajian mitigasi banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa melakukan tinjauan ke Gem Park selepas menghadiri Mesyuarat Timbalan Premier Sarawak Bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Bintulu di Pejabat DID Bintulu, pada Khamis.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, firma perunding antarabangsa itu bukan sahaja membawa kepakaran luar, malah akan bekerjasama dengan kepakaran tempatan termasuk juruukur dan pihak teknikal berkaitan.
Katanya, pengalaman pelaksanaan projek mitigasi banjir dengan penglibatan firma perunding antarabangsa di kawasan lain boleh dijadikan rujukan dalam merangka perancangan untuk Bintulu.
Beliau berkata, cadangan pelantikan firma perunding bagi Bintulu masih dalam proses untuk dimuktamadkan, termasuk perkara berkaitan kos dan skop perkhidmatan.
Menurutnya, Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) dijangka mengadakan mesyuarat bagi memuktamadkan perkara berkenaan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Angeline Stephen Raja. -EDISI UKAS