RM53 Juta Pacu Projek Mitigasi Banjir Bintulu, Kerja Fizikal Bermula Oktober
BINTULU: Tiga lagi komponen projek mitigasi banjir di Bintulu bakal memasuki fasa pelaksanaan fizikal antara pertengahan hingga akhir Oktober ini susulan kelulusan peruntukan tambahan RM53 juta oleh Kerajaan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Bintulu bersama pihak perunding kini giat membuat persiapan bagi memastikan projek di bawah Fasa Dua itu dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Menurut beliau, proses tender dijangka dipanggil seawal September sebelum kerja fizikal dimulakan di lapangan pada bulan berikutnya.
“DID memaklumkan bahawa proses tender mungkin dipanggil pada awal September dan menjelang pertengahan hingga akhir Oktober, kerja-kerja fizikal dijangka dapat dimulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Timbalan Premier Sarawak Bersama Jawatankuasa Pengurusan Banjir Bintulu di Pejabat DID Bintulu di sini pada Khamis.
Datuk Amar Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, peruntukan RM53 juta itu melibatkan tiga komponen utama yang masih berbaki di Gem Park, Desa Damai dan SJK Sebiew.
Katanya, kelulusan tersebut diperoleh susulan rayuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming kepada Premier Sarawak berhubung kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Johnny Pang menyifatkan kelulusan berkenaan sebagai perkembangan positif yang mencerminkan perhatian Kerajaan Sarawak terhadap usaha menangani isu banjir serta memastikan keselamatan penduduk di Bintulu.
Beliau berkata, pelaksanaan projek tersebut amat dinantikan masyarakat setempat, khususnya selepas beberapa kawasan terjejas akibat kejadian banjir pada tahun lalu.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Angeline Stephen Raja. -EDISI UKAS