Pencahayaan Jalan Tudan, Riam Dipertingkat Dengan 91 Lampu Baharu
MIRI: Sebanyak 91 unit lampu jalan baharu diperuntukkan bagi kawasan Tudan dan Riam sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pencahayaan serta keselamatan pengguna jalan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, daripada jumlah tersebut, 83 unit telah dipasang manakala baki lapan unit di Riam Road masih menunggu kelulusan ‘wayleave’ daripada Jabatan Kerja Raya (JKR)
Menurutnya, 41 unit daripada keseluruhan lampu baharu berkenaan merupakan lampu diod pemancar cahaya (LED).
Beliau berkata, bagi Tudan, sebanyak 60 unit lampu jalan telah dipasang dengan kos RM68,337.50, manakala di Riam, 23 daripada 31 unit yang dirancang telah dipasang dengan kos RM99,955.
“Mulai sekarang, kita mahu semua lampu jalan yang baharu menggunakan LED. Lampu lama juga akan diganti secara berperingkat dengan LED,” katanya ketika mengadakan lawatan tinjauan ke Tudan Fasa 4, 5 dan jalan Desaras Tudan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee berkata sebanyak 400 unit lampu sodium lama akan digantikan dengan LED secara berperingkat, melibatkan 100 unit masing-masing di Desa Senadin, Permyjaya, Tudan dan Riam.
Ujarnya, penggantian tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dengan memberi keutamaan kepada jalan utama, lokasi yang sering mengalami kesesakan lalu lintas dan persimpangan utama sebelum diperluaskan ke kawasan perumahan.
Beliau menjelaskan bahawa peruntukan bagi projek berkenaan telah diluluskan pada awal tahun melalui peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Senadin, manakala proses tender dan pelantikan kontraktor telah dilaksanakan.
“Ini merupakan projek yang akan dijalankan secara berterusan. Kita akan terus menggantikan lampu jalan lama yang tidak cukup terang dengan lampu LED,” katanya lagi.-EDISI UKAS