Jalan Baharu RM7 Juta Tingkat Akses Penduduk Melikin Pasarkan Hasil Pertanian
BALAI RINGIN: Kemudahan perhubungan penduduk Melikin kini semakin baik menerusi siapnya jalan raya sepanjang 4.55 kilometer (km) bernilai RM7 juta yang bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti, malah memudahkan penduduk membawa hasil pertanian dengan lebih cepat dan selamat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, jalan berkenaan telah mula digunakan penduduk sejak Jun tahun lalu, sekali gus memberi kemudahan lebih baik berbanding laluan asal sebelum ini.
Menurutnya, projek berkenaan dimulakan menerusi peruntukan sebanyak RM2 juta di bawah dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) sebelum diteruskan dengan peruntukan RM5 juta menerusi Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA).
“Dengan terbina jalan raya ini maka penduduk di kawasan Melikin boleh menghantar hasil pertanian mereka dengan lebih mudah, cepat dan selamat berbanding jalan asalnya sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Projek Siap GKCDA DUN N.30 Balai Ringin Menaik Taraf Jalan Melikin di Balai Raya Kampung Danau Keranggas Melikin dekat sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin turut menekankan kepentingan memastikan jalan baharu berkenaan terus berada dalam keadaan baik, khususnya susulan pergerakan kenderaan berat dari kilang pemprosesan kelapa sawit berhampiran kawasan Danau Keranggas.
Menurutnya, pergerakan jentera berat secara berterusan berpotensi memberi kesan terhadap keadaan jalan dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat terus digunakan dengan selamat oleh masyarakat setempat.
“Atas sebab itu, saya berharap agar syarikat pemilik kilang ini bersetuju terhadap Memorandum Persefahaman yang dikemukakan oleh Ketua Kaum serta agensi kerajaan di sini dan bertindak melaksana Tanggungjawab Korporat Sosial jika berlaku kerosakan jalan akibat jentera berat mereka,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Danau Keranggas Melikin serta RM5,000 kepada biro wanita JKKK berkenaan.
Hadir sama Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong, Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Datuk Ik@Pahon Joyik, Pengerusi Majlis Daerah Serian, Dato Peter Minos, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin, Mohamad Adam Muslim, Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian, wakil jabatan serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum. -EDISI UKAS