Projek Jalan Menalun-Sungai Poi Bernilai RM170 Juta Disasar Siap 2030
KANOWIT: Projek Membina Jalan Menalun-Sungai Poi bernilai RM170 juta disasarkan siap sepenuhnya menjelang 2030 bagi memperkukuh jaringan perhubungan serta meningkatkan akses penduduk di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, projek tersebut dilaksanakan dalam empat fasa, dengan Fasa 1 dan Fasa 2 telah siap, manakala Fasa 3 sedang dilaksanakan dan Fasa 4 masih dalam proses reka bentuk.
“Fasa 1 sudah siap, Fasa 2 sudah siap, Fasa 3 kita mengadakan majlis pecah tanah pada hari ini, manakala Fasa 4 masih dalam proses mereka bentuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Projek Membina Jalan Menalun-Sungai Poi, di sini pada Sabtu.
Hadir menyempurnakan majlis berkenaan ialah Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kanowit, Dato Sri Aaron Ago Dagang.
Datuk Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, Fasa 3 melibatkan kos RM46.11 juta dengan nilai kontrak RM39.96 juta bagi pembinaan jalan sepanjang 3.6 kilometer.
“Untuk Fasa 3, panjangnya 3.6 kilometer dan tidak melibatkan jambatan, tetapi melibatkan kawasan berbukit dan tidak sampai ke sekolah,” katanya.
Menurutnya, Fasa 4 pula menerima peruntukan RM58.4 juta bagi pembinaan jalan sepanjang 2.6 kilometer serta dua jambatan.
Katanya lagi, fasa tersebut turut menyediakan laluan yang bersambung ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Poi serta dua rumah panjang, iaitu Rumah Panjang Gani dan Tarang.
“Fasa 4 itu sepanjang 2.6 kilometer, mempunyai dua jambatan dan skop jalan JKR R1. Ia terus bersambung ke sekolah serta dua rumah panjang, iaitu Rumah Panjang Gani dan Tarang,” katanya.
Beliau berkata, Fasa 1 melibatkan pembinaan jalan sepanjang 10 kilometer dan tiga jambatan dengan kos RM50 juta, manakala Fasa 2 melibatkan pembinaan jalan sepanjang satu kilometer dan sebuah jambatan dengan kos RM15.8 juta.
Datuk Rubiah berkata sasaran menyiapkan keseluruhan projek menjelang 2030 bergantung kepada kapasiti pelaksanaan bagi fasa yang masih berbaki.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Dato Dr Roslan Mahmoodc Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak, Datu Ir Ts Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Timbalan Residen Bahagian Sibu, Maria Nadja Jimmy, Pegawai Daerah Kanowit, Cerisologo Sabut, Pengarah KKDW Negeri Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah dan Tuai Rumah Jarau Jenggot.-EDISI UKAS