30 Projek Bernilai RM343.1 Juta Ubah Landskap Balai Ringin
BALAI RINGIN: Sebanyak RM343.1 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 30 projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin, sekali gus memperkukuh infrastruktur dan meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan berkata, daripada jumlah itu, RM260 juta diperuntukkan oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bagi melaksanakan Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II, Bahagian Serian.
“Projek ini dibahagi kepada dua fasa yang meliputi Projek Pembinaan Tangki Aras Tinggi Melikin berkapasiti tiga juta liter sehari (MLD), Tangki Takungan Sabal berkapasiti 1.8 MLD dan beberapa kemudahan lain yang dijangka siap menjelang April 2027.
“Apabila siap nanti, Projek Bekalan Air Wilayah Serian Fasa II Bahagian Serian ini nanti akan memberi manfaat kepada 1,647 pintu keluarga dari 71 kampung atau rumah panjang di kawasan DUN Balai Ringin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Projek Siap Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) DUN N.30 Balai Ringin Menaik Taraf Jalan Melikin di Balai Raya Kampung Danau Keranggas Melikin, dekat sini pada Sabtu.
Datuk Snowdan memberitahu, baki RM83.1 juta pula diperuntukkan menerusi GKCDA serta dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) bagi melaksanakan 29 projek pembangunan lain.
“Mendahului senarai projek ini adalah pembinaan Bandar Satelit Balai Ringin bernilai RM55 juta, pemasangan lampu solar bernilai RM1.6 juta untuk 35 kampung (sudah siap), pemasangan lampu solar bernilai RM2 juta untuk 40 kampung (sudah tender) dan menaik taraf lima jalan kampung bernilai RM18.5 juta.
“Manakala, baki projek-projek pembangunan yang lain pula adalah menaik taraf Klinik Kesihatan Balai Ringin bernilai RM1.5 juta (dalam perancangan) dan menaik taraf 20 jalan kebun yang mencatat nilai keseluruhan sebanyak RM6 juta,” katanya.
Menurut beliau, suntikan dana serta pelaksanaan projek berkenaan dijangka mengubah landskap pembangunan DUN Balai Ringin menjelang 2027, khususnya melalui penyediaan jaringan infrastruktur dan kemudahan asas yang lebih baik serta sistematik.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Danau Keranggas Melikin serta RM5,000 kepada biro wanita JKKK berkenaan.
Hadir sama Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong, Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Datuk Ik@Pahon Joyik, Pengerusi Majlis Daerah Serian, Dato Peter Minos, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin, Mohamad Adam Muslim serta Ketua Polis Daerah Serian, Superintenden Freddy Bian Stanislaus Bian. -Edisi UKAS