Jalan Menalun-Sungai Poi Fasa 3 Bernilai RM39.96 Juta Siap 2027
KANOWIT: Projek Membina Jalan Menalun-Sungai Poi Fasa 3 bernilai RM39.96 juta dijadualkan siap pada November 2027, sekali gus menyediakan akses jalan darat kepada tiga rumah panjang yang sebelum ini bergantung kepada pengangkutan air.
Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kanowit, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, penyediaan infrastruktur tersebut bukan sahaja meningkatkan perhubungan penduduk, malah berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi serta membuka peluang pekerjaan di kawasan luar bandar.
“Apabila kita mempunyai jalan raya dan infrastruktur lain seperti bekalan elektrik dan air, banyak aktiviti dapat dijalankan, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dan menyokong aktiviti ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Membina Jalan Menalun-Sungai Poi, di sini pada Sabtu.
Dato Sri Aaron menambah, projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak itu melibatkan pembinaan jalan berturap sepanjang 3.6 kilometer mengikut spesifikasi JKR-R1.
“Projek ini akan menghubungkan rangkaian jalan Fasa 2 terus ke tiga buah rumah panjang iaitu Rumah Keleman, Rumah Nyaru dan Rumah Jelani,” katanya.
Menurutnya, tempoh pelaksanaan projek adalah selama 24 bulan bermula 17 November 2025 hingga 15 November 2027.
Katanya, Fasa 1 dan Fasa 2 projek berkenaan telah siap, manakala pelaksanaan Fasa 3 meneruskan usaha menyediakan jaringan perhubungan jalan raya kepada penduduk luar bandar.
Apabila siap, projek tersebut akan memberi akses kepada tiga rumah panjang berkenaan yang merangkumi 446 penduduk atau 57 pintu, selain memudahkan urusan harian penduduk ke sekolah, klinik desa, Pekan Kanowit dan Bandar Sibu.
Jelasnya lagi, kesinambungan pelaksanaan projek infrastruktur luar bandar membuktikan keperluan asas masyarakat terus diberi perhatian bagi meningkatkan kualiti hidup serta merancakkan pembangunan kawasan.
“Jadi, dengan itu kita berterima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang telah berusaha untuk menjayakan kesemua permohonan infrastruktur di luar bandar, bukan sahaja di Kanowit tetapi di seluruh Sarawak dan negara,” katanya.-EDISI UKAS