Curtin Malaysia Bantu Beri Nafas Baru Kepada Pusat Sumber SK Tudan
MIRI: Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan diberi nafas baharu menerusi projek ‘Dreams in Bloom: SK Tudan Resource Centre Reimagined’ anjuran Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia).
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, inisiatif tersebut membuktikan kepentingan kerjasama institusi pengajian tinggi dan sekolah dalam memperkasa pendidikan serta pembangunan modal insan.
Menurutnya, Pusat Sumber merupakan ‘jantung’ sesebuah sekolah, justeru transformasi kemudahan yang sebelum ini agak uzur dan terhad amat bermakna bagi memenuhi keperluan lebih 1,200 murid.
“Kita bukan sekadar mengecat dinding atau menyusun buku, tetapi kita sedang membina ruang di mana daya imaginasi anak-anak ini dapat berkembang dan impian mereka mula dibentuk,” katanya ketika merasmikan projek tersebut di Dewan SK Tudan, pada Jumaat.
Projek itu digerakkan menerusi gotong-royong selama dua hari pada 1 dan 2 Ogos lalu melibatkan lebih 120 sukarelawan terdiri daripada pelajar, staf dan alumni Curtin Malaysia bersama warga SK Tudan.
Transformasi berkenaan merangkumi kerja pembersihan, pengecatan, penyusunan semula, pembaikpulihan rak buku terpakai serta penyediaan perabot dan komputer.
Dato Sri Lee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Curtin Malaysia berkata, penggunaan semula dan pembaikan kemudahan sedia ada turut menerapkan elemen kelestarian serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti dan SDG 12 mengenai Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab.
Pada majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan RM58,000 kepada SK Tudan, dengan RM55,000 bagi penyelenggaraan sekolah dan RM3,000 sebagai tambahan kepada kutipan Zumbathon.
Sementara itu, Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif Curtin Malaysia, Profesor Vincent Lee Chieng Chen berkata, projek ‘Dreams in Bloom’ berteraskan kepercayaan bahawa setiap kanak-kanak berhak memiliki ruang yang mampu memberi inspirasi untuk membaca, belajar, meneroka dan membina impian.
“Ringkasnya, kami bukan sekadar mengubah suai sebuah bilik tetapi kami sedang mewujudkan ruang tempat idea dan impian boleh berkembang,” ujarnya.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Jumari Hashim dan Guru Besar SK Tudan, Lim Ai Giok. -EDISI UKAS