Forum Ehwal Islam ‘Ummah Maju Makmur’ Diadakan 10 September Depan
SIMANGGANG: Forum Ehwal Islam ‘Ummah Maju Makmur’ sempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Tahun 2026M/1448H bakal diadakan di Masjid Bandar Sri Aman pada 10 September 2026 bersamaan 28 Rabiulawal 1448H.
Perkara itu diumumkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Forum Ehwal Islam ‘Ummah Maju Makmur’ yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman, di sini pada Jumaat.
Mesyuarat berkenaan diadakan bagi menyelaras persiapan dan pelaksanaan program tersebut bagi memastikan ia berjalan lancar.
Menurut wakil Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman, Afzainizam Tuah, program itu menyasarkan penyertaan kira-kira 300 orang terdiri daripada masyarakat setempat serta pihak berkaitan.
Katanya, forum berkenaan menjadi platform untuk menyampaikan pengisian berkaitan ehwal Islam, selain menggalakkan penglibatan masyarakat dalam program keagamaan.
“Hebahan menerusi saluran media amat penting bagi memastikan maklumat berkaitan program ini dapat disampaikan kepada masyarakat setempat dengan lebih meluas.
“Justeru, kerjasama pihak media amat diperlukan untuk membantu membuat hebahan menjelang pelaksanaan program ini sekali gus menggalakkan orang ramai hadir dan mengambil bahagian,” katanya.
Forum tersebut turut menjadi platform untuk memperkukuh kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap nilai-nilai Islam serta mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan institusi agama.
Orang ramai khususnya masyarakat Islam di Sri Aman dan kawasan sekitar dijemput hadir ke program berkenaan. -EDISI UKAS