CENTEXS Perkasa Tenaga Penjaga Warga Emas Dalam Menghadapi Negeri Tua
DALAT: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Dalat memperkukuh penyediaan tenaga penjaga warga emas berkemahiran menerusi Sijil Latihan Penjaga Warga Emas (TREC) bagi memenuhi peningkatan keperluan penjagaan apabila Sarawak dijangka menjadi negeri tua menjelang 2028.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peningkatan jumlah warga emas akan meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan, sokongan kesihatan serta kemudahan sosial.
Menurutnya, keadaan itu memerlukan penglibatan keluarga, komuniti, kerajaan, institusi latihan, penyedia perkhidmatan serta tenaga penjaga terlatih.
“Penjagaan warga emas tidak lagi boleh dilihat sebagai tanggungjawab keluarga semata-mata. Ia memerlukan penglibatan seluruh masyarakat bagi memastikan kebajikan golongan tersebut terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perkongsian dan perbincangan berkaitan penjagaan warga emas dan penjagaan paliatif di CENTEXS Dalat, pada Jumaat.
Menurut Dato Sri Fatimah, TREC yang dilaksanakan selama lapan bulan menggabungkan pembelajaran teori, latihan praktikal dan pendedahan kepada situasi sebenar penjagaan warga emas serta penjagaan paliatif.
Program tersebut menawarkan pensijilan oleh CENTEXS dan MissiCare, dengan penekanan terhadap kemahiran, keyakinan, disiplin, sikap kerja dan nilai kemanusiaan dalam kalangan peserta.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu menambah, bidang penjagaan warga emas turut mempunyai potensi untuk berkembang sebagai sektor pekerjaan dan perkhidmatan, termasuk penjagaan di rumah serta pusat jagaan.
Dalam pada itu, CENTEXS berhasrat memperkukuh laluan kerjaya tenaga penjaga menerusi pengiktirafan kemahiran, termasuk peluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang Operasi Pusat Jagaan Orang Tua.
Usaha berkenaan dilihat penting bagi memastikan Sarawak mempunyai tenaga kerja terlatih yang mampu memenuhi keperluan penjagaan warga emas serta menyokong pembentukan masyarakat yang lebih mesra warga emas.
Hadir sama, Ketua Pegawai Akademik, Akademi Industri dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) merangkap Ketua Kampus CENTEXS Dalat, Dr Nadianatra Musa. -EDISI UKAS