Golongan Muda Tidak Perlu Takut Ceburi Bidang STEM, TVET
LUNDU: Golongan muda tidak perlu takut untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebaliknya perlu melihat kedua-duanya sebagai laluan strategik untuk memperoleh ilmu dan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar merangkap Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Billy Sujang berkata, pembangunan Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga mahir dan pakar dalam pelbagai bidang supaya anak tempatan sendiri dapat memainkan peranan aktif dalam pembangunan negeri.
"Pembangunan Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga mahir dan pakar dalam pelbagai bidang supaya anak tempatan sendiri dapat memainkan peranan aktif dalam pembangunan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jerayawara ‘Project of Dreams Realized’ (PRO-DR) 2026 di Dewan Masyarakat Lundu pada Jumaat
Billy menambah, penguasaan ilmu, kemahiran dan teknologi semakin penting ketika Sarawak bergerak ke arah ekonomi yang dipacu inovasi, digitalisasi, teknologi hijau serta industri berteknologi tinggi.
Ujarnya, keupayaan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyesuaikan diri dengan pantas terhadap transformasi digital dan AI merupakan asas penting dalam memenuhi tuntutan industri serta meningkatkan daya saing Sarawak di peringkat global.
Dalam pada itu, Jerayawara PRO-DR 2026 anjuran TEGAS dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) kini memasuki siri ke-11 sejak diperkenalkan pada 2015.
Program berkenaan berfungsi sebagai platform sehenti bergerak yang menyampaikan maklumat pendidikan, latihan kemahiran, pembiayaan pendidikan serta peluang kerjaya secara terus kepada masyarakat.
Bagi edisi 2026, jerayawara selama 29 hari itu merentasi 14 daerah di seluruh Sarawak dengan penyertaan lebih 40 reruai terdiri daripada institusi pengajian tinggi, penyedia TVET, agensi kerajaan, badan pembiayaan pendidikan dan rakan industri.
Antara pengisian utama ialah Ekspo Pendidikan dan Kerjaya, Future TECH, Hands-On STEM, Planetarium Sultan Iskandar, TVET Masters, Mathematics Fun Games, kuiz interaktif serta sesi perkongsian mengenai hala tuju pendidikan selepas SPM dan STPM, pembiayaan pendidikan, penerokaan kerjaya, STEM dan ekonomi digital. -EDISI UKAS