KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) terus memperkukuh komunikasi dua hala dengan kepimpinan masyarakat menerusi Sesi Jerayawara Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Edisi 1 Zon Stakan, pada Jumaat.
Program yang berlangsung di Perpustakaan Awam MPKS itu menjadi platform kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai isu, keperluan dan perkhidmatan di kawasan masing-masing.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah pengurusan dan penyelenggaraan sistem perparitan, kerja pemotongan rumput, pengurusan serta kutipan sampah dan tahap kebersihan persekitaran.
Turut dibincangkan ialah isu rabies termasuk langkah pencegahan yang perlu diberi perhatian bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Dalam sesi berkenaan, KMKK turut berpeluang mengemukakan pandangan, isu dan cadangan berkaitan kemudahan serta perkhidmatan di kawasan masing-masing.
Pendekatan secara bersemuka itu membolehkan MPKS memperoleh gambaran lebih jelas mengenai isu di peringkat akar umbi, sekali gus membantu merancang tindakan susulan yang lebih bersasar dan berkesan.
Pada masa sama, sesi jerayawara berkenaan menjadi medium untuk memperkukuh kerjasama antara MPKS dan KMKK dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat kekal cekap, responsif serta memenuhi keperluan setempat.
Hadir sama Pengerusi MPKS, Kr Abang Ismawi Abang Ali,,Timbalan Pengerusi MPKS, Kr Daily Joseph, Setiausaha Perbandaran MPKS, Zuraida Idris; Ahli-Ahli Majlis MPKS, wakil Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan Pejabat Daerah Samarahan, Ketua-Ketua Bahagian serta warga kerja MPKS. -EDISI UKAS