Kebakaran Gambut 33 Hektar Di Bungin Berjaya Dipadam Selepas Tujuh Hari
SARIBAS: Kebakaran tanah gambut di Jalan Bungin Serembang, Saribas yang melibatkan kawasan kira-kira 33 hektar berjaya dipadamkan selepas operasi selama tujuh hari.
Susulan kejayaan tersebut, operasi pemadaman ditangguhkan namun kawasan berkenaan akan terus dipantau pihak bomba bagi memastikan tiada tanda-tanda kebakaran kembali berlaku.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Dr Mohd Razi Sitam berkata, pemantauan susulan penting bagi memastikan keadaan kawasan kekal terkawal.
Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kebakaran petang ini bagi mendapatkan perkembangan terkini operasi pemadaman.
Pemeriksaan akan dijalankan setiap empat jam sebagai langkah pemantauan, manakala punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Operasi pemadaman melibatkan Pasukan Bomba Bahagian Betong, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Spaoh dan Betong serta pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Kerjasama antara agensi dan anggota terlibat sepanjang operasi tujuh hari membolehkan kebakaran dikawal sepenuhnya, sekali gus mengurangkan risiko kebakaran berulang di kawasan berkenaan.
Turut berada di lokasi ialah Ketua Operasi TBK1/TBK2, Abang Muhd Fhazil Abang Abdul Manaf. -EDISI UKAS