Jualan Rahmah Madani Bantu Ringankan Beban Kos Sara Hidup
SARIKEI: Program Jualan Rahmah Madani yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah wajar dianjurkan di kawasan Sarikei agar manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai penduduk.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, program berkenaan memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah, sekali gus membantu mengurangkan beban kos sara hidup.
“Program seperti ini amat baik kerana memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya dalam membantu mengurangkan perbelanjaan harian.
“Saya berharap kerjasama antara kerajaan, koperasi, NGO dan komuniti setempat dapat terus diperkukuhkan bagi memastikan program seperti ini dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jualan Rahmah Madani di Dewan Terbuka, Perkarangan Masjid Nur Permai Sarikei, di sini, pada Sabtu.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu, kerjasama pelbagai pihak juga penting bagi memastikan barangan keperluan asas dapat disalurkan kepada pengguna dengan lebih mudah dan teratur.
Program berkenaan dianjurkan menerusi kerjasama ANGKASA dengan Koperasi Kariah Masjid Nur Permai Sarikei Berhad dan merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dengan menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah, termasuk pengurangan antara 10 hingga 30 peratus melalui kerjasama bersama rakan strategik.-EDISI UKAS