TYT Sarawak Hargai Sumbangan Penulis Naskhah ‘Mawar Astana Mekar Di Jiwa’
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, meraikan barisan penulis dan pihak yang terlibat dalam penerbitan buku Mawar Astana Mekar Di Jiwa, di Astana Negeri Sarawak, di sini pada Jumaat.
Majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah menyumbang usaha dan tenaga dalam menghasilkan naskhah yang dilancarkan di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 17 Ogos lalu.
Kehadiran Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah sekitar jam 8 malam disambut Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Majlis berlangsung kira-kira sejam dalam suasana mesra sebelum kedua-dua mereka beredar sekitar jam 9 malam.
Buku Mawar Astana Mekar Di Jiwa merakamkan perjalanan kehidupan, pengorbanan dan sumbangan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Naskhah tersebut turut mengetengahkan pelbagai fasa kehidupannya merangkumi latar belakang, pendidikan, kerjaya, kehidupan berkeluarga serta khidmat kepada masyarakat sebelum menggalas peranan sebagai isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Penerbitan buku berkenaan menjadi antara usaha mendokumentasikan perjalanan kehidupan serta sumbangan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah untuk tatapan dan rujukan generasi akan datang. –EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir