Persiapan Atlet Para SUKMA Dipastikan Lengkap Sebelum Berangkat
KUCHING: Kerajaan Sarawak memastikan segala persiapan atlet yang bakal mewakili negeri pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 diselesaikan sepenuhnya sebelum kontinjen berangkat ke lokasi pertandingan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pemantauan dilakukan terhadap persiapan setiap pasukan bagi mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang perkara yang masih belum diuruskan.
Menurut beliau, antara perkara yang diberi perhatian termasuk urusan melibatkan atlet bawah umur, keperluan imigresen serta persiapan lain sebelum kontinjen berangkat ke lokasi pertandingan.
“Tujuannya adalah untuk melihat bagaimana persiapan setiap pasukan dan memantau sama ada perkara-perkara yang belum diuruskan sudah diselesaikan.
“Dalam kata lain, sebelum kita berangkat nanti, semuanya sudah disiapkan,” katanya semasa melakukan lawatan ke tempat latihan intensif sukan boling padang, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah berkata, latihan intensif atlet kini berbaki dua hari dan beliau dimaklumkan bahawa barisan atlet boling padang Sarawak berada dalam keadaan bersedia serta mempunyai semangat yang tinggi untuk menghadapi saingan.
Katanya, atlet juga perlu memanfaatkan tempoh latihan terakhir bagi menyesuaikan diri dengan keadaan yang mungkin berbeza daripada venue pertandingan sebenar.
Beliau berkata, keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan termasuk dari segi kawalan tenaga dan teknik permainan penting bagi membantu atlet menampilkan prestasi terbaik.
Dato Sri Fatimah turut menyeru atlet supaya memperkukuh kekuatan mental, fizikal dan emosi selain saling menyokong antara satu sama lain bagi membentuk semangat berpasukan yang kukuh.
Ujarnya, setiap atlet perlu mempunyai sasaran masing-masing serta menyematkan keinginan untuk memberikan yang terbaik demi mengharumkan nama Sarawak. -EDISI UKAS