Lima Tahun Akan Datang Fasa Penting Untuk Masa Depan Miri
MIRI: Tempoh lima tahun akan datang merupakan fasa penting bagi Miri dengan pelaksanaan beberapa projek strategik yang berpotensi merancakkan sektor pendidikan, pelancongan, ekonomi dan peluang pekerjaan di bandar raya ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pelbagai projek yang dirancang perlu dilaksanakan dan disiapkan dengan baik bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat.
“Lima tahun akan datang adalah tempoh yang sangat penting untuk Miri. Kita berharap semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan dan disiapkan demi masa depan bandar raya ini serta rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP), di sini pada Sabtu.
Antara projek strategik yang diketengahkan termasuk pembangunan Kenyalang Smart City, Pusat Konvensyen Miri, taman tema air serta cadangan pembangunan universiti perubatan melalui kerjasama dengan Universiti Fudan, China.
Dalam sektor pengangkutan, beliau berkata usaha menaik taraf dan mendalamkan alur pelayaran Pelabuhan Miri sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi membolehkan kapal lebih besar berlabuh, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan Miri sebagai pelabuhan laut dalam.
Menurutnya, pembangunan berkenaan turut berpotensi merancakkan Kuala Baram sebagai kawasan perindustrian dan zon ekonomi bebas, manakala projek jalan raya Miri-Marudi-Mulu dijangka memperkukuh jaringan perhubungan serta menyokong sektor pelancongan.
Dalam majlis berkenaan, sebanyak 107 organisasi di kawasan Senadin menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM582,600 bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dan memenuhi keperluan komuniti setempat.
Dato Sri Lee berkata, agihan peruntukan berkenaan dibuat berdasarkan keperluan serta permohonan yang diterima daripada organisasi dan pertubuhan di kawasan Senadin.
Menurutnya, jumlah agihan setiap tahun tidak semestinya sama kerana bergantung kepada jumlah permohonan dan keperluan semasa.
“Dalam satu keluarga pun ada banyak anak, jadi bapa perlu membahagikan mengikut keperluan. Begitu juga dengan peruntukan ini, kita cuba agihkan berdasarkan keperluan,” katanya.
Dato Sri Lee berkata, bantuan tersebut mencerminkan usaha berterusan menyokong organisasi akar umbi yang memainkan peranan penting dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan serta memenuhi keperluan penduduk. -EDISI UKAS