Gereja St Stephen, Dewan Suarah Bau Dinaik Taraf RM3 Juta
BAU: Gereja St Stephen Bau dan Dewan Suarah Bau dinaik taraf menerusi program Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dengan kos keseluruhan kira-kira RM3 juta bagi meningkatkan keselesaan serta kemudahan pengguna.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, projek menaik taraf Gereja St Stephen Bau melibatkan peruntukan kira-kira RM1 juta dan bermula pada Disember 2025.
Menurutnya, skop kerja projek berkenaan merangkumi pemasangan 14 unit sistem penghawa dingin baharu, pembaikan kebocoran bumbung, pengecatan semula siling, penaiktarafan sistem bekalan elektrik serta penggantian papan suis utama.
“Naik taraf ini penting bagi memastikan umat Kristian Katolik dapat menjalankan aktiviti keagamaan dalam keadaan lebih selesa dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau projek berkenaan di Gereja St Stephen Bau, pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Henry berkata Dewan Suarah Bau turut dinaik taraf menerusi program GKCDA dengan kos kira-kira RM2 juta.
Katanya, projek yang bermula pada Disember 2025 itu dijangka siap pada penghujung tahun ini.
“Antara penambahbaikan yang dilaksanakan ialah pemasangan sebuah eskalator dan sebuah lif bagi meningkatkan keselesaan serta kemudahan akses pengguna.
“Kemudahan tersebut dijangka dapat digunakan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tahun depan,” katanya.
Kedua-dua projek berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan menambah baik kemudahan komuniti di Bau supaya dapat digunakan dengan lebih selesa, selamat dan berkesan oleh masyarakat setempat.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Datuk Ik Pahon Joyik, Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi, Jurutera Mekanikal Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching, Winston Gerang dan Jurutera Daerah JKR Bau, Allyson Hilbert. -EDISI UKAS