Kefahaman Budaya Asas Kukuhkan Keharmonian Masyarakat Sarawak
MUKAH: Kefahaman terhadap kepercayaan dan budaya antara satu sama lain menjadi asas penting dalam memupuk sikap saling menghormati, toleransi serta keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, kepelbagaian kepercayaan dan budaya yang wujud dalam kalangan masyarakat Sarawak bukan penghalang untuk hidup bersama, sebaliknya menjadi kekuatan yang memperkayakan identiti negeri ini.
“Perbezaan yang ada bukanlah penghalang untuk kita bersama, sebaliknya menjadi kekuatan yang memperkayakan identiti masyarakat Sarawak amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Sambutan ‘Hungry Ghost Festival’ atau ‘Zhongyuan Festival’ anjuran Persatuan Penganut Tai Shan Ting Tua Pek Kong Mukah, di sini baru-baru ini.
Menurut Royston, kehadirannya pada sambutan tersebut bukan sekadar untuk menyaksikan tradisi dan adat masyarakat berkenaan, malah menjadi peluang untuk menambah pengetahuan serta memahami dengan lebih dekat kepelbagaian kepercayaan, budaya dan amalan masyarakat.
Royston berkata, usaha memahami serta menghormati kepelbagaian kepercayaan dan budaya perlu terus dipupuk bagi memastikan masyarakat Sarawak kekal hidup dalam suasana aman, harmoni dan saling menghargai.
“Semoga semangat saling memahami, menghormati dan menjaga keharmonian ini terus subur dalam masyarakat kita,” katanya.
“Kepelbagaian kita adalah kekuatan, keharmonian kita adalah tanggungjawab bersama,” tambahnya.-EDISI UKAS