Pertandingan Deklamasi Puisi Cina Perkasa Keyakinan, Kemahiran Komunikasi Pelajar
MIRI: Pertandingan Deklamasi Puisi Cina Piala YB Adam Yii Siew Sang 2026 menjadi platform memperkasa keyakinan diri, bakat seni bahasa dan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, pengalaman tampil di pentas dan berhadapan khalayak merupakan proses penting dalam membentuk keberanian serta keyakinan diri pelajar.
Menurutnya, pertandingan berkenaan bukan sekadar medan persaingan untuk merebut anugerah, malah memberi peluang kepada peserta membina pengalaman, bertukar pandangan dan menjalin persahabatan dengan pelajar dari daerah lain.
“Perkara paling penting yang diperoleh peserta bukan hanya keputusan dan anugerah, tetapi pengalaman membuat persembahan di pentas serta keberanian untuk tampil di hadapan khalayak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah pertandingan berkenaan, di sini pada Ahad.
Pertandingan julung kali dianjurkan itu disertai 17 pasukan sekolah rendah dan menengah dari Miri, Marudi dan Bintulu.
Adam berkata, penyertaan dalam pertandingan deklamasi turut memberi ruang kepada pelajar mengembangkan bakat dalam seni bahasa serta memperkukuh minat terhadap puisi dan budaya Cina.
Katanya, persembahan peserta memperlihatkan kesungguhan dari aspek penghayatan, penyampaian suara dan kerjasama berpasukan hasil persediaan yang dilakukan sebelum pertandingan.
Beliau turut menyifatkan keberanian semua peserta untuk tampil di pentas sebagai satu pencapaian tersendiri kerana pengalaman tersebut dapat menjadi proses pembelajaran yang berguna dalam perkembangan diri mereka.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan para pemenang supaya terus mengembangkan bakat, manakala peserta yang belum berjaya menjadikan pengalaman pertandingan sebagai motivasi untuk memperbaiki prestasi pada masa akan datang. -EDISI UKAS