Pickleball Semarak Pesta Meradong, Galak Gaya Hidup Sihat
MERADONG: Pertandingan Beregu Campuran Pickleball sempena Pesta Meradong 2026 yang diadakan di hadapan Ai Cha Bintangor pada Sabtu bukan sahaja memeriahkan sambutan pesta berkenaan, malah menjadi platform menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti sukan dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Pertandingan anjuran Kelab Pickleball Meradong itu mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta serta komuniti setempat.
Penganjuran berkenaan turut memberi peluang kepada pemain pickleball untuk mengembangkan bakat, meningkatkan kemahiran serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Selain menjadi aktiviti riadah, pertandingan tersebut turut memperlihatkan semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan peserta, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih aktif dan sihat.
Hadir menyaksikan pertandingan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing serta Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abdul Wahab.
Turut hadir AO Ting Kai Siang, Wakil Pegawai Daerah Meradong, Ley Chee Hua, Pengerusi Kelab Pickleball Meradong, Cr. Timothy Lim Teng dan tetamu lain.
Dalam pertandingan tersebut, Team BBQ muncul sebagai juara kategori beregu campuran, manakala Wharf Raiders menduduki tempat kedua.
Rybee Smash pula meraih tempat ketiga, diikuti Lemon Kosong Peng di tempat keempat.
Sokongan berterusan daripada pihak penaja dan semua pihak yang terlibat turut membantu memastikan pertandingan tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar dan berjaya.-EDISI UKAS