Kesatuan Perguruan Silat Kunci Martabat Seni Warisan Sarawak
ASAJAYA: Perguruan dan pertubuhan silat di Sarawak digesa memperkukuh kesatuan, disiplin serta tadbir urus bagi memastikan seni warisan berkenaan terus dimartabatkan dan berkembang secara mampan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, konflik dalaman dalam sesebuah perguruan perlu dielakkan kerana boleh menjejaskan usaha pembangunan pesilat muda, termasuk proses pemilihan atlet ke peringkat lebih tinggi seperti Sukan Malaysia (SUKMA).
Menurut beliau, aspek disiplin perlu diterapkan secara menyeluruh bukan sahaja dalam kalangan pesilat, malah melibatkan pengurusan perguruan serta usaha membangunkan seni silat itu sendiri.
“Apabila satu-satu perguruan ada masalah, ia menunjukkan wujudnya sedikit ketidakdisiplinan. Perkara ini perlu diatur dengan betul supaya perguruan itu dapat hidup, makin lama makin membangun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penutupan Asajaya Berpencak Silat sempena Pesta Asajaya 2026 di Dewan Pejabat Daerah Asajaya, di sini pada Ahad.
Dato Sri Abdul Karim menambah, badan induk seperti Rumpun Silat Sarawak (RSS) memainkan peranan penting sebagai platform penyatuan semua perguruan silat di negeri ini secara adil dan inklusif tanpa unsur diskriminasi atau dominasi mana-mana perguruan.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak bersedia memberikan sokongan termasuk bantuan kewangan kepada persatuan yang mempunyai struktur pengurusan jelas dan telus serta menunjukkan komitmen dalam mengangkat seni silat sebagai warisan dan wadah pembangunan generasi muda.
“Masalah kewangan tidak akan menjadi isu sekiranya kita melihat struktur pengurusan dan niat (nawaitu) untuk mengangkat warisan seni silat ini dilakukan secara jujur dan tidak terlalu bersifat peribadi,” katanya.
Dalam kategori khas perguruan, Perguruan Hailam Laut muncul juara dan menerima hadiah wang tunai RM500, manakala Banteng Betawi meraih naib juara dengan hadiah RM300 dan Pewaris 12 menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM200.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Dato Sri Abdul Karim.
Penganjuran program berkenaan turut menjadi platform memperkasa seni silat bukan sahaja sebagai sukan, malah sebagai khazanah warisan yang berperanan membentuk disiplin, jati diri dan semangat kesatuan dalam kalangan generasi muda.
Turut hadir Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin,,Guru Utama Perguruan Seni Silat Helang Laut Sarawak, Guru Azmi Azali, Pengerusi Rumpun Silat Sarawak (RSS) Wilayah Samarahan, Cikgu Isnu Dollah serta ketua-ketua masyarakat tempatan.-EDISI UKAS