Para SUKMA XXII: Sarawak Sasar Dua Emas Dalam Sukan Ping-Pong
KUCHING: Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya dua pingat emas menerusi acara ping-pong pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXII Selangor 2026 yang akan datang.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, atlet perlu mengekalkan semangat juang dan komitmen tinggi bagi memastikan sasaran tersebut dapat dicapai, malah berusaha menyumbang lebih banyak pingat emas kepada kontinjen Sarawak.
"Kita mahu kamu semua mempunyai semangat dan iltizam yang tinggi serta mempunyai keinginan untuk mencatat kemenangan dan bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan pasukan kamu dapat menghasilkan keputusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi kata-kata semangat kepada atlet Para SUKMA Sarawak semasa sesi latihan atlet para ping pong di Dewan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Petra Jaya, pada Ahad.
Tambahnya, atlet ping pong Sarawak turut mendapat pendedahan melalui latihan serta penyertaan dalam program dan pertandingan di luar Sarawak termasuk di Thailand, selain mengikuti litar serta menjalani latihan di Sibu.
Justeru, beliau menyeru agar setiap atlet saling memberikan motivasi dan keyakinan, khususnya apabila berdepan situasi yang boleh menjejaskan semangat atau keyakinan diri.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah turut mengingatkan atlet supaya bersedia menghadapi perbezaan suasana, keadaan dan cabaran apabila bertanding di Selangor kelak.
Ujarnya, atlet perlu mengetepikan segala cabaran yang mungkin timbul dan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menampilkan prestasi terbaik.
"Mereka mungkin tidak begitu memahami dan mungkin tidak begitu bersimpati seperti jurulatih serta guru kamu tetapi semua itu kita perlu ketepikan.
"Apa sahaja cabaran yang datang nanti apabila kita pergi ke Selangor, ketepikan semua itu. Tidak mengapa tetapi apa yang penting ialah kita mahu memberikan yang terbaik," ujar beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie & Shahril Haqim