SIBU: Sibu wajar mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Sarawak untuk membina sebuah pusat seni persembahan bagi menyediakan kemudahan yang lebih sesuai kepada penggiat seni di bandar ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata cadangan itu bersesuaian dengan komitmen Sibu dalam menganjurkan acara seni persembahan bertaraf antarabangsa seperti Sibu International Dance Festival (SIDF) yang kini memasuki edisi ke-12.
"Melihat kepada minat, dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh warga Sibu dalam menjayakan persembahan seperti ini sehingga memasuki edisi ke-12, saya percaya dan berharap sebuah pusat seni persembahan juga dapat dibina di Sibu.
"Mungkin pihak berkenaan di Sibu boleh mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri untuk memohon pembinaan pusat tersebut kerana saya tahu Sibu sangat komited dalam menganjurkan acara seumpama ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Festival Tarian Antarabangsa Sibu (SIDF) ke-12 tahun 2026 di Hotel RH, di sini pada Sabtu.
Jelasnya, Kerajaan Sarawak kini sedang membangunkan Pusat Seni Persembahan Sarawak di Kuching yang dijangka siap menjelang penghujung tahun depan.
Dato Sri Abdul Karim berkata kemudahan dewan atau tempat persembahan yang sewajarnya adalah tepat bagi menyokong perkembangan industri berkenaan, sekali gus membantu Sarawak mencapai tahap lebih tinggi dalam bidang seni persembahan di rantau ini.
Mengenai penganjuran SIDF ke-12, beliau memuji usaha Hornland Dance Theatre selaku penganjur yang berjaya membawa penyertaan ratusan penari, koreografer dan pengamal budaya dari dalam serta luar negara termasuk dari Brazil dan Mauritius.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bersama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak akan terus meningkatkan sokongan terhadap penganjuran festival itu pada masa akan datang.
“Usaha berterusan anda bukan sahaja meningkatkan profil Sibu sebagai pusat seni dan budaya, malah turut menyumbang secara signifikan kepada perkembangan pelancongan budaya di Sarawak,” ujarnya.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Morshidi Fredrick, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting Ing Horh dan Pengarah SIDF merangkap Pengarah Artistik Teater Tarian Hornland Chen Ing Kuan.-EDISI UKAS