Isu Infrastruktur, Bekalan Air Lubok Antu Terus Diberi Perhatian
LUBOK ANTU: Usaha menangani isu infrastruktur dan kemudahan asas, khususnya bekalan air di kawasan Lubok Antu, akan terus diberi perhatian bagi memastikan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi dapat ditangani secara berperingkat.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, beberapa perancangan pembangunan telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di kawasan berkenaan, termasuk usaha menangani isu jalan raya dan bekalan air yang masih dihadapi penduduk di beberapa kawasan.
Menurutnya, keadaan infrastruktur di kawasan pedalaman memerlukan perhatian berterusan, termasuk jalan menuju ke Nanga Menjuau yang dilihat sendiri ketika beliau menyertai XPDC 3.0 Ulu Skrang.
Beliau turut menjelaskan beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah ketiadaan bekalan air di beberapa kawasan di Lubok Antu dan memberi jaminan bahawa isu berkenaan terus diberi perhatian.
Dalam perkembangan berkaitan, Roy memaklumkan permohonan tangki air bagi 41 Ketua Isi Rumah (KIR) di Nanga Kumpang telah diluluskan bagi membantu penduduk yang berdepan masalah bekalan air.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat (MPBR) P.203 Lubok Antu di Rumah Machau Anak Seman, Nanga Kumpang, di sini pada Sabtu.
Roy menambah, penganjuran MPBR merupakan platform penting yang membolehkan pemimpin mendengar secara langsung isu, pandangan dan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan para Tuai Rumah supaya terus menganjurkan program seumpama itu bagi membolehkan isu setempat dibincangkan bersama pemimpin dan agensi berkaitan serta tindakan susulan dapat dikenal pasti.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada penduduk Rumah Panjang Nanga Kumpang atas persiapan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.
Roy turut menerangkan cadangan projek solar terapung di kawasan Batang Ai yang dilihat mempunyai potensi untuk memberi manfaat kepada kawasan berkenaan.
Dalam majlis sama, beliau mengumumkan beberapa peruntukan berjumlah keseluruhan RM193,000 bagi membantu keperluan komuniti serta kemudahan kesihatan setempat.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM25,000 menerusi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diperuntukkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Kumpang, manakala RM8,000 disalurkan kepada Biro Wanita Nanga Kumpang.
Selain itu, RM150,000 menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2027 diperuntukkan kepada JKKK Nanga Kumpang, sementara RM10,000 disalurkan kepada Klinik Kesihatan Engkilili.
Jumlah RM193,000 itu tidak termasuk peruntukan bagi penyediaan tangki air kepada 41 KIR di Nanga Kumpang yang telah diluluskan.
MPBR anjuran JKKK Nanga Kumpang dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lubok Antu itu menjadi medan interaksi secara langsung antara pemimpin dan masyarakat dalam mengenal pasti keperluan serta isu setempat bagi memastikan agenda pembangunan di Lubok Antu terus diperkasakan.-EDISI UKAS