Liga Premier Sarawak Cungkil Bakat Bola Sepak Tempatan
SARIKEI: Penyertaan pasukan Sarikei dalam saingan Liga Premier Sarawak 2026 menjadi antara platform penting untuk mengembangkan bakat pemain tempatan serta membuka peluang kepada lebih ramai pemain muda diketengahkan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi perlu diperkukuh secara berterusan bagi melahirkan pemain berkualiti.
“Diharapkan pasukan Sarikei terus memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan dan tidak mudah berputus asa.
“Sokongan daripada masyarakat juga amat penting bagi memberi semangat dan motivasi kepada para pemain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Premier Sarawak Tahun 2026, di Kompleks Sukan Integrasi Sarikei, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut menegaskan, usaha membangunkan sukan khususnya bola sepak memerlukan kerjasama berterusan antara persatuan sukan, komuniti setempat, sektor swasta dan agensi kerajaan.
Untuk rekod, pasukan Sarikei dijadualkan berdepan beberapa pasukan lain dalam saingan Liga Premier Sarawak 2026 termasuk Limbang FA, Sibu FA, Bintulu FA, Kapit FA, Mukah FA dan Miri FA. -EDISI UKAS