Petanque Bentuk Fokus, Kesabaran & Disiplin Masyarakat
MERADONG: Sukan petanque bukan sahaja menjadi aktiviti riadah, malah mampu membentuk nilai positif dalam kalangan masyarakat menerusi elemen fokus, ketepatan, kesabaran dan disiplin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, elemen tersebut penting dalam membentuk semangat kesukanan serta keperibadian positif dalam kalangan peserta.
“Sukan petanque memerlukan fokus, ketepatan dan kesabaran, sekali gus mampu membentuk disiplin serta semangat kesukanan dalam kalangan peserta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Petanque sempena Pesta Meradong 2026, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, penganjuran aktiviti berkenaan turut menyediakan ruang kepada masyarakat daripada pelbagai lapisan untuk berkumpul, beriadah dan mengamalkan gaya hidup aktif dalam suasana santai.
Pada majlis sama, Datuk Ding menyampaikan Sumbangan Geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM3,000 kepada Kelab Petanque Daerah Meradong bagi membantu pelaksanaan aktiviti kelab sepanjang tahun 2026.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan bagi mempergiatkan aktiviti petanque serta menarik lebih ramai masyarakat, khususnya golongan muda, untuk menceburi sukan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menyeru peserta supaya mengutamakan semangat kesukanan dan persahabatan sepanjang pertandingan.
Katanya, kemenangan bukan satu-satunya ukuran kejayaan kerana hubungan yang terjalin serta pengalaman bersama turut menjadi nilai penting dalam penganjuran aktiviti sukan. -EDISI UKAS