Juraimi Junaidi Juara Asajaya Idol 2026, Bolot Dua Anugerah Sampingan
ASAJAYA: Juraimi Junaidi mencipta malam gemilang apabila dinobatkan sebagai Johan Asajaya Idol 2026 sekali gus membolot dua anugerah sampingan pada malam kemuncak Pesta Asajaya 2026 di Kompleks Sukan Asajaya di sini pada Sabtu.
Kejayaan itu menyaksikan Juraimi membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 selepas mempamerkan persembahan terbaik untuk mengungguli saingan.
Beliau turut meraih anugerah Vokal Terbaik dan Pakaian Terbaik dengan masing-masing menawarkan hadiah wang tunai RM300, menjadikan keseluruhan hadiah yang dimenanginya berjumlah RM1,600.
Joha Talaha pula muncul Naib Johan dan membawa pulang RM800, manakala Ani Abu Bakar menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM600.
Bagi kategori Persembahan Terbaik, anugerah tersebut dimenangi Talaha yang menerima hadiah wang tunai RM300.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir. Aidel Lariwoo.
Malam kemuncak Pesta Asajaya 2026 turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi terkenal Sarawak, Hafiz Suip bersama isterinya, Fiona Safiyya yang menghiburkan para pengunjung.
Penganjuran Asajaya Idol 2026 menjadi antara platform mengetengahkan bakat seni dan vokal tempatan, sekali gus memberi peluang kepada peserta menyerlahkan potensi serta kebolehan masing-masing.
Pertandingan itu turut melengkapkan pengisian Pesta Asajaya 2026 yang menghimpunkan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti berteraskan hiburan, seni, budaya dan kemasyarakatan.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Asajaya merangkap Pengerusi Pengelola Pesta Asajaya 2026, Jerry Zannuddin Bidin serta Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Temenggong Haji Chek Bujang.-EDISI UKAS