Perpaduan Multi-Etnik Pacu Pembangunan Sosioekonomi Asajaya & Sadong Jaya
ASAJAYA: Keharmonian masyarakat pelbagai etnik di Asajaya dan Sadong Jaya bukan sekadar mencerminkan keunikan masyarakat setempat malah menjadi kekuatan penting dalam mempercepatkan pelaksanaan agenda pembangunan sosioekonomi di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, perpaduan kukuh dalam kalangan masyarakat majmuk membolehkan pelbagai perancangan dan projek pembangunan dilaksanakan dengan lebih lancar, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya itu menjelaskan, kekuatan tersebut jelas dapat dilihat menerusi penyertaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang etnik termasuk Melayu, Iban, Cina, Bugis dan Jawa dalam Pesta Asajaya 2026.
“Perpaduan utuh ini menjadi tonggak utama yang memudahkan usaha kerajaan dalam mempercepatkan agenda pembangunan sosioekonomi di kawasan sekitar Asajaya dan Sadong Jaya,” katanya ketika berucap semasa kemuncak hari kedua Pesta Asajaya 2026 di Kompleks Sukan Asajaya di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Aidel menyeru masyarakat setempat supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang ekonomi yang terhasil susulan perkembangan pesat serta transformasi pembangunan di Asajaya dan Sadong Jaya.
Katanya, pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemudahan dan infrastruktur, malah perlu diterjemahkan kepada peluang yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat.
Justeru, beliau mahu masyarakat terus mempertahankan keharmonian dan semangat kebersamaan yang telah menjadi kekuatan kawasan berkenaan dalam mendepani perubahan serta merebut peluang daripada pembangunan yang sedang dilaksanakan.
Menurutnya, kepelbagaian etnik bukan penghalang kepada kemajuan, sebaliknya merupakan aset dalam membentuk masyarakat yang progresif, berdaya saing dan sejahtera.
Sementara itu, Pesta Asajaya 2026 mencatatkan sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya dianjurkan selama tiga hari berturut-turut di Kompleks Sukan Asajaya bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-40 Bahagian Samarahan.
Penganjuran festival berkenaan mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta dirancang untuk dijadikan acara tahunan bagi memperkukuh hubungan masyarakat, memartabatkan kepelbagaian budaya dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Asajaya merangkap Pengerusi Pengelola Pesta Asajaya 2026, Jerry Zannuddin Bidin serta Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Temenggong Chek Bujang.-EDISI UKAS