Malaysia Quran Hour 2026 Himpun 500 Peserta Di Kuching
KUCHING: Seramai 500 peserta berhimpun di Dewan Kompleks Islam Sarawak bagi menjayakan Malaysia Quran Hour 2026 peringkat tempatan, sekali gus menyemarakkan budaya membaca, memahami dan menghayati al-Quran dalam kehidupan seharian.
Program yang berlangsung serentak di seluruh negara pada Ahad, dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, itu menampilkan pengisian bacaan, khatam dan tadabbur al-Quran.
Keunikan penganjuran tahun ini turut menyaksikan penyertaan 22 pembaca bagi sesi Khatam al-Quran yang dibawakan khas oleh Rumah Ngaji Sarawak.
Program dimulakan dengan sesi Khatam al-Quran oleh Rumah Ngaji Sarawak, diikuti bacaan Surah Luqman oleh Ustazah Nur Syakura Mohamad Musa serta bacaan Surah al-Muzammil yang dipimpin Ustaz Muhamad Tamizi Hussien.
Sesi Tadabbur al-Quran pula disampaikan oleh pentadabbur khas program, Dr Abdullah Bukhari Abdul Rahim, bagi membantu peserta memahami serta menghayati kandungan al-Quran secara lebih mendalam.
Selain pengisian al-Quran, majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada pemenang Pertandingan Hafazan serta Pertandingan Qari dan Qariah anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Penyampaian tersebut disempurnakan oleh Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi.
Program kemudiannya diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat, sesi fotografi dan jamuan.
Turut hadir, Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana - Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS), Yusof Hazmi. -EDISI UKAS