E-Sukan Buka Peluang Kerjaya, Keusahawanan Baharu Kepada Belia Sarawak
KUCHING: E-sukan bukan sekadar medan pertandingan, malah berpotensi membuka peluang kerjaya dan keusahawanan baharu kepada generasi muda Sarawak menerusi pelbagai bidang dalam industri digital.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, perkembangan e-sukan perlu dilihat secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran yang mampu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan keusahawanan.
“Penyertaan membawa kepada kemahiran baharu, kemahiran membawa kepada peluang baharu, dan peluang membawa kepada kerjaya serta keusahawanan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program PUBG Mobile OOHAAA Sarawak 2026 – Hentian Ke-21 dan Terakhir di Hab Inovasi Batu Kawa, di sini pada Ahad.
Datuk Amar Dr Sim menambah, industri berkenaan menawarkan peluang yang luas bukan sahaja sebagai pemain, malah dalam bidang pembangunan permainan, animasi, penyiaran, penciptaan kandungan dan produksi.
Katanya, antara kerjaya yang boleh diterokai termasuk jurulatih, penganalisis, pentadbir kejohanan, pengurus pasukan, pencipta kandungan, penstrim, penyiar, pereka, penerbit, juruteknik dan penganjur acara.
“Kita mahu membangunkan keseluruhan ekosistem supaya anda menjadi kompetitif, membangunkan permainan, animasi, penyiaran, penciptaan kandungan dan produksi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan membawa program e-sukan ke seluruh Sarawak penting bagi memastikan peluang mencungkil dan mengembangkan bakat tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, malah turut menjangkau masyarakat luar bandar.
Menurutnya, program berkenaan berjaya menghimpunkan lebih 3,200 peserta di seluruh Sarawak, sekali gus mencerminkan sambutan serta potensi besar generasi muda dalam bidang e-sukan.
Pada masa sama, Ekspo E-Sukan Sarawak 2026 (SAREX 2026) turut dirancang sebagai antara platform untuk memperkukuh pembangunan komuniti dan industri e-sukan di negeri ini.
Datuk Amar Dr Sim berkata, usaha berkenaan akan terus disokong bagi memastikan Sarawak bukan sahaja mampu melahirkan pemain e-sukan berdaya saing, malah tenaga profesional dan usahawan dalam keseluruhan rantaian industri tersebut. -EDISI UKAS