Fasiliti Kesihatan Sarawak Bersedia Hadapi Kesan Jerebu
KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MHLPG) serta Jabatan Kesihatan Sarawak terus memantau rapat kesan kesihatan susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu di seluruh negeri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, fasiliti kesihatan di seluruh Sarawak berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi sebarang peningkatan kes berkaitan kesan jerebu, dengan bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan mencukupi berdasarkan penggunaan semasa.
"Saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa fasiliti kesihatan Sarawak berada dalam keadaan bersedia dan mencukupi.
"Stok ubat-ubatan penting dan bekalan perubatan semasa, termasuk pelitup muka tiga lapis, pelitup muka N95 dan silinder oksigen, adalah mencukupi berdasarkan penggunaan semasa," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Datuk Amar Profesor Dr. Sim memaklumkan, kes jangkitan saluran pernafasan akut (URTI) dan konjunktivitis menunjukkan peningkatan susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu di Sarawak sejak awal Ogos.
Katanya, pemantauan kesihatan bagaimanapun mendapati aktiviti asma di seluruh negeri masih berada pada tahap stabil.
Beliau mendedahkan, purata kes URTI meningkat daripada kira-kira 1,717 kes seminggu pada awal tahun kepada 1,752 kes seminggu dalam beberapa minggu kebelakangan ini, manakala kes konjunktivitis meningkat daripada kira-kira 17 kepada 21 kes seminggu.
Menurutnya, kes URTI yang terkini meningkat dengan ketara pada pertengahan Ogos, dengan Zon Selatan merekodkan kira-kira 1,250 kes, Zon Tengah melebihi 1,000 kes dan Zon Utara mencatat kemuncak hampir 400 kes.
Datuk Amar Profesor Dr. Sim menambah, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak mencatatkan peningkatan kehadiran pesakit asma pada beberapa hari pada Ogos namun tiada peningkatan berterusan yang ketara dalam kes berkenaan.
Dalam pada itu, beliau menggesa golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan bayi, warga emas, wanita mengandung, individu yang mempunyai masalah pernafasan atau kardiovaskular serta mereka yang bekerja di luar supaya mengambil langkah berjaga-jaga tambahan apabila kualiti udara merosot.
Beliau menasihati orang awam supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan menangguhkan aktiviti rekreasi serta sukan di luar, khususnya ketika kualiti udara berada pada tahap buruk.
"Orang awam tidak perlu berasa terlalu bimbang, namun risiko kesihatan akibat pendedahan berpanjangan kepada kualiti udara yang buruk tidak harus dipandang ringan.
"Kerajaan Sarawak bersama Jabatan Kesihatan Sarawak dan agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dengan rapat serta memperkukuh tindakan berdasarkan keadaan kualiti udara dan hasil pemantauan kesihatan semasa.
"Saya juga menggesa orang awam supaya mendapatkan maklumat dan nasihat kesihatan daripada sumber rasmi serta mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya apabila kualiti udara merosot," jelasnya. -EDISI UKAS