Jerebu: IPU Lebih 200, Orang Awam Disaran Hadkan Aktiviti Luar
KUCHING: Orang awam khususnya golongan berisiko tinggi disaran mengehadkan aktiviti luar serta mengambil langkah pencegahan sewajarnya susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 di beberapa kawasan ketika Sarawak berdepan keadaan jerebu.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, langkah berkenaan penting bagi mengurangkan risiko kesihatan terutama kepada mereka yang mempunyai masalah pernafasan, warga emas serta individu dengan tahap imuniti rendah.
“Dengan IPU lebih daripada 200, cuba kurangkan aktiviti luar. Kalau ada keperluan yang benar-benar penting untuk keluar, pakailah pelitup muka dan sediakan ubat titis mata sekiranya mata terasa gatal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program PUBG Mobile OOHAAA Sarawak 2026 -Hentian Ke-21 dan Terakhir di Hab Inovasi Batu Kawa, di sini pada Ahad.
Datuk Amar Dr Sim menambah, golongan yang mempunyai penyakit pernafasan termasuk asma dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) perlu mengambil langkah pencegahan lebih awal dan tidak menunggu sehingga keadaan kesihatan merosot.
Katanya, warga emas serta individu yang mempunyai sistem imuniti rendah termasuk pesakit kanser dan diabetes yang tidak terkawal turut perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan pendedahan kepada zarah halus dalam jerebu.
Dalam pada itu, beliau berkata, fasiliti kesihatan kerajaan telah diarahkan sejak awal Ogos supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan peningkatan kes berkaitan jerebu.
Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada turut menetapkan tindakan yang perlu diambil mengikut tahap pencemaran udara, termasuk langkah berkaitan operasi sekolah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan orang awam perlu turut memainkan peranan dengan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami kemerosotan kesihatan.
“Kalau keadaan asma semakin teruk dan semua itu, jangan duduk di rumah, pergi ke hospital. Hospital mahu membantu, tetapi anda perlu datang mendapatkan rawatan," jelasnya.
Datuk Amar Dr Sim pada masa sama meminta agensi kerajaan meminimumkan kerja luar yang tidak mendesak sepanjang keadaan jerebu, kecuali tugasan kritikal yang memerlukan tindakan segera.
Mengenai kemungkinan pengisytiharan darurat jerebu, beliau berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau turut mengingatkan orang awam supaya terus mengambil langkah berjaga-jaga sehingga keadaan jerebu kembali pulih.
Turut hadir, Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang. -EDISI UKAS