Pesta Meradong Perkasa Ekonomi, Promosi Produk Tempatan
MERADONG: Pesta Meradong 2026 berpotensi menjadi platform penting dalam memperkasa ekonomi setempat menerusi peluang kepada usahawan dan peniaga tempatan mengetengahkan produk serta makanan tempatan kepada pengunjung.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, penganjuran pesta berkenaan wajar diteruskan dan diperkasakan pada tahun-tahun akan datang bagi memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat setempat.
“Saya yakin ia boleh berkembang sebagai satu platform yang dapat membantu meningkatkan pendapatan usahawan dan peniaga tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Meradong 2026, di sini pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, selain menjadi wadah meraikan kepelbagaian budaya dan aktiviti masyarakat, pesta tersebut turut menyediakan ruang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk mereka serta membuka peluang kepada bakat muda untuk diketengahkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa projek menaik taraf kemudahan rumah ibadah di kawasan Meradong turut dilaksanakan hasil peruntukan yang diperoleh bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan masyarakat.
Antara projek berkenaan ialah menaik taraf Masjid Al-Muhajirin Taman Bintang, Masjid Al-Falah Sungai Gemuan dan Surau Darul Taqwa, Kampung Selemas, yang sedang dilaksanakan.
“Sebagai wakil rakyat Sarikei, saya sentiasa komited untuk memastikan keperluan rakyat di kawasan kita diberikan perhatian dan diperjuangkan kepada pihak yang berkaitan.
“Saya berharap pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja dapat mempertingkatkan kemudahan dan keselesaan tempat ibadah, malah dapat menyediakan ruang yang lebih baik untuk masyarakat berkumpul, menjalankan aktiviti keagamaan serta memperkukuh hubungan silaturahim dalam komuniti,” ujarnya.
Pada majlis sama, Dato Sri Huang menyumbangkan RM10,000 kepada Jawatankuasa Induk Pesta Meradong 2026 sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran pesta berkenaan.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis Dato Ir Yusuf Abdul Wahab, Residen Bahagian Sarikei Datu Michael Ronnie Langgong, Pegawai Daerah Meradong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Meradong 2026 Wee Teck Min serta Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau Lau Chi Sing. -EDISI UKAS