Sarawak Tekad Transformasi Ekonomi Komoditi Kepada Ekonomi Hijau Berteknologi Tinggi
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh usaha mentransformasikan struktur ekonominya daripada berasaskan komoditi kepada ekonomi hijau, berteknologi tinggi dan lestari sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan jangka panjang negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, transformasi itu akan dipacu menerusi kekuatan ekonomi negeri serta kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, pendekatan berasaskan semangat menang-menang akan membolehkan Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Saya yakin dan percaya dengan semangat menang-menang antara pemimpin Persekutuan dan Sarawak, dan Sabah, wilayah ini akan terus mengorak langkah untuk menjalani transformasi daripada sebuah ekonomi komoditi kepada ekonomi hijau berteknologi tinggi dan lestari di bawah lindungan payung Malaysia yang progresif dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim turut memberi jaminan untuk terus memperkukuhkan kerjasama dengan Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang lebih adil dan seimbang.
Katanya, sokongan dan kerjasama berkenaan penting dalam membolehkan Sarawak meneruskan agenda pembangunan yang telah dirangka menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Tambah beliau lagi, Sarawak kini mempunyai asas kukuh untuk melaksanakan transformasi ekonomi berkenaan menerusi kekuatan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, sumber semula jadi, pertanian serta industri baharu berasaskan teknologi. -EDISI UKAS