Premier Sarawak Pimpin Misi Ke Manila Perkukuh Kerjasama ADB
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan mengetuai rombongan Sarawak ke Manila, Filipina minggu hadapan bagi memperkukuh kerjasama dengan ‘Asian Development Bank’ (ADB), khususnya dalam agenda ekonomi hijau dan pembangunan infrastruktur Tanjung Embang.
Menurut beliau, misi tersebut merupakan susulan kepada pertemuan dengan pihak ADB sebelum ini bagi meneroka bentuk kerjasama yang dapat menyokong pembangunan Sarawak.
“Pada minggu hadapan saya akan mengetuai rombongan ke Manila susulan pertemuan dengan pihak ADB sebelum ini untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan bank tersebut untuk kepentingan bersama ke arah pembangunan ekonomi hijau dan pembangunan infrastruktur Tanjung Embang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69.
Mengulas lanjut, beliau berkata Sarawak kini semakin mendapat perhatian badan-badan bertaraf antarabangsa susulan usaha Kerajaan Sarawak mentransformasikan negeri ini sebagai hab ekonomi hijau di rantau ini.
Katanya, kekuatan Sarawak dalam tenaga boleh diperbaharui menyediakan asas kukuh kepada pembangunan ekonomi baharu berteraskan teknologi tinggi dan kelestarian.
Beliau berkata kira-kira 61 peratus daripada kapasiti penjanaan tenaga elektrik terpasang Sarawak kini datang daripada sumber tenaga boleh diperbaharui, khususnya kuasa hidro.
Menurutnya, Sarawak menyasarkan kapasiti bekalan tenaga meningkat daripada 5.9 gigawatt kepada 10 gigawatt menjelang 2030, yang akan menyokong pembangunan sektor hidrogen, industri hijau, pusat data dan industri berteknologi tinggi.
“Dengan kekuatan ini, Sarawak mempunyai potensi untuk menjadi antara pusat tenaga bersih utama ASEAN dan memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi rantau ini dengan pengwujudan grid tenaga ASEAN, insya-Allah,” katanya.
Jelas beliau lagi, kerjasama strategik dengan institusi pembangunan antarabangsa seperti ADB penting bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi hijau dan infrastruktur Sarawak secara berterusan.
Kerjasama tersebut, katanya, turut membuka ruang kepada Sarawak meneroka peluang baharu dalam pembangunan ekonomi berasaskan tenaga bersih dan infrastruktur strategik yang mampu menyokong pertumbuhan negeri dalam jangka panjang. -EDISI UKAS