Hasil RM14.2 Bilion Kukuhkan Kedudukan Ekonomi Sarawak
KUCHING: Rekod hasil negeri sebanyak RM14.2 bilion pada 2024 mengukuhkan kedudukan kewangan dan asas ekonomi Sarawak untuk terus memacu pembangunan serta transformasi ekonomi negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peningkatan hasil negeri lebih dua kali ganda berbanding jumlah yang dicatatkan lebih sedekad lalu menggambarkan kekuatan ekonomi Sarawak yang semakin kukuh.
Menurutnya, Sarawak mencatatkan hasil RM12.5 bilion pada 2025, manakala kutipan RM14.2 bilion pada 2024 merupakan rekod tertinggi dalam sejarah negeri serta antara yang tertinggi dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia.
“Saya percaya hasil negeri ini akan terus bertambah dengan sektor-sektor ekonomi yang semakin berkembang seperti perlombongan minyak dan gas dan peningkatan rantaian nilai sumber negeri ini,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69.
Berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri 2025 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Sarawak merekodkan kutipan hasil kerajaan negeri sebanyak RM14.2 bilion pada 2024, mengatasi Sabah yang mencatatkan RM6.8 bilion di samping merekodkan lebihan kewangan kerajaan negeri tertinggi pada tahun sama sebanyak RM1.5 bilion.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, prestasi tersebut memberi keyakinan bahawa Sarawak mampu menjadi wilayah maju yang setanding dengan negeri dan negara maju di rantau ini berdasarkan kekuatan ekonomi yang telah dibina sejak 2017. -EDISI UKAS