100 Tahun Penubuhan, SJK(C) Sze Lu Sarikei Lahirkan Generasi Berilmu, Berkemahiran
SARIKEI: Sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJK(C)) Sze Lu Sarikei mencerminkan kesinambungan peranan institusi pendidikan berkenaan dalam melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran yang menyumbang kepada masyarakat serta negara.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, sepanjang satu abad penubuhannya, SJK(C) Sze Lu telah melahirkan pelbagai generasi pelajar yang kemudiannya menyumbang dalam bidang pendidikan, perniagaan, perubatan dan perkhidmatan awam.
Menurutnya, pencapaian alumni sekolah berkenaan membuktikan peranan institusi tersebut dalam membentuk modal insan yang mampu memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“Perjalanan SJK(C) Sze Lu selama 100 tahun berjaya melahirkan pelajar cemerlang yang kini berkhidmat dalam bidang pendidikan, perniagaan, perubatan dan perkhidmatan awam, dan menyumbang tenaga dan kepakaran kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 SJK(C) Sze Lu Sarikei di Dewan Besar, SMK Tinggi Sarikei, pada Sabtu.
Dato Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, kesinambungan pembangunan pendidikan perlu diberi perhatian bagi memastikan generasi muda terus mendapat peluang mengembangkan potensi masing-masing.
Katanya, pembangunan pendidikan sentiasa menjadi antara keutamaan beliau sebagai wakil rakyat Sarikei, termasuk usaha mendapatkan peruntukan bagi meningkatkan kemudahan serta persekitaran pembelajaran di sekolah-sekolah di kawasan tersebut.
“Penyediaan kemudahan pendidikan yang lebih baik penting bagi memastikan setiap anak mendapat peluang yang saksama untuk mengembangkan potensi serta mencapai cita-cita mereka,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg atas komitmen berterusan dalam memperkukuh sektor pendidikan dan pembangunan kebudayaan di Sarawak.
Menurutnya, usaha tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memastikan generasi muda mendapat akses kepada pendidikan berkualiti serta persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Sebagai tanda sokongan terhadap kesinambungan pembangunan pendidikan di SJK(C) Sze Lu, Dato Sri Huang turut menyumbangkan RM20,000 sempena sambutan ulang tahun ke-100 sekolah berkenaan. -EDISI UKAS