Masyarakat Beting Maro Diseru Proaktif Manfaat Sumber Tempatan Jana Pendapatan
PUSA: Masyarakat di kawasan Beting Maro diseru supaya lebih proaktif memanfaatkan sumber alam dan hasil tempatan sebagai peluang menjana pendapatan serta meningkatkan ekonomi keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, kekayaan sumber tempatan di kawasan berkenaan mempunyai potensi untuk dikembangkan menjadi produk berasaskan pertanian dan sumber alam yang mampu menjana nilai ekonomi kepada masyarakat.
Menurut beliau, peluang tersebut perlu dimanfaatkan masyarakat bagi meningkatkan pendapatan keluarga, selain menggalakkan lebih ramai usahawan menceburi bidang ekonomi secara serius dan proaktif.
“Zaman kini sudah berubah dan kita juga perlu berubah serta sentiasa proaktif dalam mencari peluang menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Komuniti N.29 Beting Maro, di sini pada Ahad.
Dato Razaili turut menekankan kepentingan usahawan memiliki lesen perniagaan yang sah bagi memudahkan mereka mendapatkan bantuan serta sokongan yang disediakan kerajaan.
Program tersebut turut mengetengahkan demonstrasi produk tempatan sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk mengembangkan potensi ekonomi setempat. -EDISI UKAS