Komuniti Rumah Panjang Diseru Perkasa Amalan Berandau
JULAU: Komuniti rumah panjang diseru agar mempergiatkan amalan ‘berandau’ sebagai platform memperkukuh hubungan sesama penduduk, di samping membincangkan keperluan pembangunan sosial dan ekonomi setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, amalan berandau penting dalam mewujudkan persefahaman antara tuai rumah dan penduduk bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan.
“Berandau bukan sahaja dapat merapatkan hubungan antara tuai rumah dan penduduk, malah menjadi ruang untuk bertukar pandangan serta pendapat dalam usaha membawa pembangunan kepada rumah panjang masing-masing.
“Dengan adanya persefahaman yang dicapai melalui berandau, segala usaha pembangunan sosial dan ekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih teratur serta memberi manfaat kepada seluruh komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penangguhan Program Randau Pembangunan Sosial (RPS) anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) di Rumah Liba, di sini pada Ahad.
Menurut Dato Rolland, program selama tiga hari itu memberi peluang kepada masyarakat luar bandar, khususnya komuniti rumah panjang, mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pelbagai inisiatif kerajaan dalam pembangunan ekonomi, infrastruktur dan sosial.
Katanya, penglibatan pelbagai agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan dalam program tersebut turut memainkan peranan penting dalam memastikan dasar, inisiatif serta perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara terus kepada masyarakat luar bandar.
“Program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada agensi berkaitan, sekali gus memahami pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
“Ini amat penting supaya masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan mengetahui peluang yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” ujarnya.
Program RPS merupakan antara pendekatan kerajaan untuk mendekati masyarakat luar bandar dengan menyediakan platform interaksi secara langsung antara komuniti dengan agensi kerajaan.
Melalui pendekatan berkenaan, masyarakat berpeluang menyampaikan pandangan, mendapatkan penjelasan serta mengetahui perkembangan terkini berkaitan pelbagai aspek pembangunan yang memberi impak kepada kehidupan mereka.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap KPWK Sarawak Kathreen Lalai Eddie Saga, Residen Bahagian Sarikei Datu Michael Ronnie Langgong, Pegawai Daerah Julau Minggu Jampong serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Brian Fung Kuom Shiu. -EDISI UKAS