Sarawak Perkukuh Keterjaminan Makanan, Pacu Nilai Tambah Industri Agro
KUCHING: Sarawak berpotensi muncul sebagai antara pengeluar beras utama negara menerusi pengembangan teknologi dan penyelidikan pertanian, di samping memperluas rantaian nilai industri sawit bagi meningkatkan sumbangannya kepada ekonomi negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penyelidikan padi yang sedang dilaksanakan di beberapa kawasan memberi keyakinan terhadap potensi Sarawak meningkatkan pengeluaran beras pada masa hadapan.
Menurutnya, antara penyelidikan yang sedang dilaksanakan ialah di Kuala Baram menerusi kerjasama pihak swasta dengan Universiti Yunnan, China bagi menilai potensi varieti padi perennial.
“Keistimewaan padi ini ialah keupayaannya untuk tumbuh semula selepas dipotong semasa penuaian, tanpa perlu ditanam semula,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, dengan pengurusan tanaman yang baik, padi perennial berpotensi menghasilkan sehingga 14 tan sehektar bagi dua musim tanaman.
Katanya lagi, keupayaan mendapatkan tuaian berulang daripada satu penanaman berpotensi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan keperluan penanaman semula berbanding sistem pengeluaran padi konvensional.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Sarawak turut mempunyai kekuatan besar dalam sektor sawit apabila negeri ini kini menjadi pengeluar hasil sawit terbesar negara dari segi kawasan tanaman dengan kira-kira 1.66 juta hektar kawasan tanaman sawit dengan pengeluaran sekitar 4.5 juta tan minyak sawit mentah pada 2025.
“Rantaian nilai dan sektor hiliran industri kelapa sawit boleh diperluaskan kepada pengeluaran bahan makanan ternakan dan pengeluaran biojisim atau biomass untuk menjana hasil yang lebih tinggi,” katanya. -EDISI UKAS