Seminar Pemantapan Jati Diri Muslim Perkukuh Akhlak, Peranan Dalam Masyarakat
DEBAK: Seminar Pemantapan Jati Diri Muslim menjadi platform memperkukuh kefahaman agama, akhlak dan peranan umat Islam dalam kehidupan bermasyarakat yang semakin mencabar.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, lima sesi ceramah yang diadakan sepanjang seminar berkenaan memberi penekanan terhadap pembentukan jati diri Muslim yang perlu diterapkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, ilmu dan pengisian yang diperoleh sepanjang seminar tidak seharusnya terhenti sebagai pengetahuan semata-mata, sebaliknya diterjemahkan melalui amalan dan pembentukan peribadi yang lebih baik.
“Akhlak yang baik adalah antara bentuk dakwah yang paling berkesan kerana ia dapat dilihat, dirasai dan dicontohi oleh orang lain,” katanya semasa berucap pada majlis penangguhan seminar tersebut, di sini pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, pendekatan dakwah juga perlu bergerak seiring dengan arus pemodenan tanpa mengabaikan nilai positif dan jati diri yang menjadi asas kehidupan seorang Muslim.
Dalam pada itu, Datuk Mohammad Razi menekankan keunikan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama.
Katanya, kepelbagaian tersebut perlu terus dipelihara menerusi sikap saling menghormati, memahami serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.
Sehubungan itu, beliau berharap peserta seminar dapat menjadi contoh kepada masyarakat dengan mempamerkan akhlak yang baik, nilai positif dan semangat perpaduan. -EDISI UKAS